Soalan-Soalan Umum

1. Adakah JPS bertanggungjawab terhadap masalah air paip?

JPS tidak bertanggungjawab terhadap bekalan air domestik atau industri anda kerana JPS hanya bertanggungjawab terhadap bekalan air pengairan untuk petani/peladang. Sila hubungi pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya atau syarikat air / lembaga air yang sesuai yang bertanggungjawab terhadap bekalan air di kawasan anda.

2. Kepada siapakah harus saya mengadu untuk masalah saliran tempatan atau banjir kilat?

JPS dan juga pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab yang berkenaan terhadap saliran. Secara umum pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan sistem saliran tempatan yang sebahagian besarnya merupakan saliran utama dan saliran sekunder. JPS bertanggungjawab terhadap sungai yang mungkin mengalir di dalam dan di luar kawasan pihak berkuasa tempatan. Banjir yang disebabkan oleh parit dan pembetung yang tersumbat jatuh di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Banjir yang disebabkan oleh limpahan parit dan sungai akibat keupayaan yang tidak mencukupi biasanya merupakan tanggungjawab JPS. Sekiranya ragu-ragu sila hubungi Pegawai Perhubungan di pejabat JPS Negeri Perak atau Bahagian Saliran Bandar dan Tebatan Banjir, JPS Negeri Perak.

 

3. Di manakah saya boleh mendapatkan data tentang curahan hujan dan aliran sungai?

Maklumat ini diterbitkan setiap tahun oleh Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran yang terletak di Cawangan Ibu Pejabat di Jalan Ampang (Tel: 03-4256 2657). Bahagian Hidrologi kini sedang membangunkan suatu sistem pangkalan data yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Hidrografi (HIS - Hydrologic Information System) yang berupaya untuk membekalkan maklumat dalam talian. JPS juga mengumpul beberapa maklumat tentang kualiti air terutamanya tentang beban endapan. Untuk butir-butir lanjut, http://h2o.water.gov.my/ atau hubungi Bahagian Sumber Air & Hidrologi, JPS Negeri Perak di talian 05-2095416 / 05-2095409

 

4. Bolehkah sesiapa memohon untuk menggunakan tanah yang ditetapkan sebagai "Rizab Sungai"?

Secara umumnya JPS tidak menggalakkan permohonan untuk menggunakan rizab sungai kita kerana kami perlu memasukinya pada bila-bila masa untuk kerja pembaikan kecemasan dan juga untuk penyelenggaraan sungai. Walau bagaimanapun, kami mungkin mempertimbangkan permohonan tertentu berdasarkan kes demi kes. Sila berhubung dengan Bahagian Sungai, JPS Negeri Perak untuk maklumat lanjut.

 

5. Bagaimanakah saya boleh meminta jambatan pejalan kaki?

JPS sering menerima permintaan untuk membina jambatan pejalan kaki atau jambatan lalu lintas ringan untuk kemudahan penduduk tempatan. Sila tulis surat kepada Pegawai Perhubungan/ Bahagian Korporat JPS Negeri Perak. Perkara ini juga boleh dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Apabila menulis kepada kami, sila sertakan alamat dan nombor telefon anda.

 

6. Kepada siapakah saya mengadu tentang masalah-masalah pencemaran sungai?

Kami menghargai maklumat tentang sebab-sebab dan juga punca pencemaran sungai. JPS bukan pihak berkuasa penguatkuasaan bagi kawalan pencemaran, lazimnya kami akan memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan penguatkuasaan.

 

7. Kepada siapakah saya mengadu tentang sampah yang menyumbat parit?

Sila rujuk perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan parit-parit ini.

 

8. Kepada siapakah saya melaporkan tentang setinggan yang menduduki rizab sungai?

Jika anda nampak setinggan mula menduduki rizab sungai, lalu menyebabkan pengotoran dan pencemaran sungai, anda boleh menghubungi JPS Negeri Perak dengan segera. JPS akan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan untuk memindahkan setinggan secepat mungkin.