IRBM adalah proses penyelarasan dalam pemeliharaan, pengurusan dan pembangunan sumber air, tanah dan sumber-sumber berkaitan merentasi semua sektor di dalam sesebuah lembangan sungai. IRBM bertujuan untuk memaksimumkan faedah sosio-ekonomi bagi sumber air secara mapan dan pada masa yang sama memelihara dan mengembalikan semula ekosistem semulajadi sumber air. Ia merupakan pengurusan mampan bagi tanah dan air mengikut sempadan geografi semulajadi tanpa mengira sempadan pentadbiran. Objektif IRBM ialah untuk memastikan air yang mencukupi, air yang bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan persekitaran. Pelaksanaan IRBM yang berkesan memerlukan penglibatan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam 8 komponen IRBM.
Gambarajah Komponen-Komponen IRBM
Definisi Sungai
Sungai ertinya badan air di daratan yang kebiasaannya mengalir di permukaan daratan atau berkemungkinan mengalir melalui terowong bawah tanah. Kanun Tanah Negara, 1965 mentafsirkan sungai sebagai mana-mana sungai, anak sungai, caruk atau lain-lain aliran semulajadi, dan apa-apa cawangan sungai, alur-delta atau lencongan buatan darinya.
Definisi Lembangan Sungai
Lembangan Sungai bermaksud kawasan tanah dari mana semua air larian permukaan mengalir melalui jaringan anak-anak sungai, sungai-sungai utama, dan kemungkinan tasik dan berakhir ke laut melalui satu kuala, muara atau delta.