Perkataan ‘integriti’dalam bahasa Melayu dipinjam daripada perkataan ‘integrit’ dalam bahasa Inggeris yang mempunyai makna generic ‘the quality of being honest and having strong moral principles’. Sementara kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1985 pula mendefinisikan integriti sebagai kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Dalam erti kata lain, integriti adalah semua nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu atau organisasi.
Secara ringkasnya, integriti boleh di bahagikan kepada tiga bahagian iaitu integriti individu, integriti penjawat awam dan integriti organisasi.
Integriti individu
Integriti individu merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Ini bermakna, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.
Integriti Penjawat Awam
Integriti Penjawat Awam melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri.
Integriti Organisasi
Integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).