04 Oktober 2025, Taiping - YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Pesisir Sungai Batu Tegoh @ Padang Merbok, Taiping. Hadir sama adalah Yang Berhormat Dato' Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak yang mewakili YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Timbalan Menteri PETRA, Timbalan Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha PETRA, Speaker ADUN Dewan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan dif-dif jemputan serta kakitangan JPS Malaysia dan Perak.
Sambutan HSS Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang bertemakan “Sungai dan Alur Air Dalam Komuniti Kita” bertujuan meningkatkan kesedaran dan rasa kebertanggungjawaban semua pihak mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan melestarikan sungai-sungai di Malaysia. Turut juga diadakan ada acara perasmian Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Batu Tegoh yang baru disiapkan bagi tujuan rekreasi dan pembelajaran komuniti.
Sambutan HSS dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung. Antara tumpuan sambutan HSS adalah penyampaian Anugerah Khas Sumber Air kepada komuniti-komuniti setempat bagi menghargai usaha masyarakat dalam menjaga dan melestarikan sungai.
Sambutan HSS Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan diharap dapat meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan melestarikan sungai sebagai sumber air negara serta sama-sama mengambil tanggungjawab dan berganding bahu menguruskan sumber air negara secara lebih strategik dan sistematik.