17 November 2025, Teluk Bahang - Dato' Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (INTAP) Negeri Perak telah hadir dan seterusnya merasmikan Persidangan Jurutera dan Program Pemantapan Organisasi yang diadakan di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang.
Program ini menghimpunkan seramai 80 orang jurutera daripada pelbagai jabatan dan agensi teknikal di bawah Jawatankuasa INTAP termasuk jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Tenaga Nasional Berhad Perak, serta Lembaga Air Perak.
Berlangsung selama dua hari satu malam, program ini dipenuhi dengan sesi ilmu, pembentangan teknikal dan perkongsian kepakaran bagi memperkukuh kompetensi jurutera di Negeri Perak. Antara pengisian utama ialah Sesi taklimat oleh Mantan Timbalan Ketua Pengarah JKR Malaysia, Datuk Sr. Hj. Amran bin Hj. Mohd Majid yang membuka tirai persidangan dengan perkongsian bernilai mengenai hala tuju kejuruteraan dan pembangunan infrastruktur negara.
Slot seterusnya diteruskan dengan ceramah pengurusan emosi oleh Puan Ermanormimi binti Ahmad Roosli, yang bertugas sebagai Pegawai Psikologi, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping yang memberi penekanan kepada kesejahteraan mental dan kecerdasan emosi sebagai asas kecemerlangan dalam profesion kejuruteraan.
Program ini diharap dapat memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan kompetensi teknikal dan memperkasakan organisasi teknikal di bawah INTAP seterusnya menyumbang ke arah pembangunan infrastruktur yang lebih mampan di Negeri Perak.