11 Jun 2026, Lumut – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Perak Cawangan Seri Iskandar, Sekretariat Kelestarian Alam Sekitar (SKAS), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Sahabat Alam Sekitar (KUASA) telah menganjurkan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat JPS Negeri Perak Tahun 2026 serta Program Kesedaran Alam Sekitar di Pantai Teluk Senangin, Lumut.
Program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Encik Teh Kok Lim, yang turut diiringi oleh Pengarah JPS Negeri Perak, YBrs. Ir. Dr. Asnor Muizan bin Dato' Haji Ishak.
Turut hadir memeriahkan program ialah YDH Toh Kelana Perkasa Encik Ismail bin Haji Balua, Orang Besar 32 Negeri Perak; Encik Mohd Helmi bin Arifin, Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung; Prof. Dr. Muhamad Abdul Aziz bin Ab Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Perak; Puan Tun Noraida binti Nikman, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), serta pegawai-pegawai daripada JPS Negeri Perak, JPS Daerah Manjung, MPM, SKAS dan pensyarah serta pelajar UiTM Perak Cawangan Seri Iskandar.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program berlangsung, antaranya aktiviti gotong-royong pembersihan pantai, melukis mural, penanaman pokok landskap, sesi kuiz interaktif, taklimat berkaitan sumber air dan alam sekitar serta aktiviti audit sampah sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan sumber air.
Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat dalam memupuk kesedaran serta tanggungjawab bersama ke arah kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.