18 Disember 2025, Bagan Datuk – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Dato' Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar bin Jamaluddin telah mengetuai satu lawatan kerja bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak serta wakil media ke beberapa kawasan terjejas banjir termenung di Daerah Bagan Datuk.
Lawatan tersebut melibatkan beberapa lokasi utama iaitu Pintu Air Tebuk Semani, Rumah Pam Rungkup, Kampung Sungai Burong dan Parit 9, Hutan Melintang yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap mengalami masalah banjir termenung susulan hujan lebat berterusan dan pengaruh pasang besar.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak, YBrs. Ir. Dr. Asnor Muizan bin Dato’ Hj. Ishak telah memberikan penerangan terperinci kepada YB Dato' Seri serta YB ADUN Rungkup mengenai tindakan-tindakan segera dan berfasa yang telah dan sedang dilaksanakan bagi mengurangkan tempoh serta impak banjir termenung di kawasan terlibat
.
Sebagai langkah mitigasi jangka pendek, JPS Perak melalui Bahagian Pengurusan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) telah menempatkan sebanyak 12 unit pam bergerak khusus di Daerah Bagan Datuk bagi mempercepatkan proses penyahairan ketika kejadian banjir berlaku.
Bagi penyelesaian jangka panjang pula, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk akan dilaksanakan merangkumi penambahbaikan sistem saliran, penaiktarafan pintu air dan rumah pam sedia ada serta pembinaan infrastruktur sokongan lain yang bersesuaian. Pelaksanaan projek ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir termenung secara lebih menyeluruh dan mampan demi kesejahteraan penduduk setempat.
Kerajaan Negeri Perak komited untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana serta pihak berkepentingan bagi memastikan isu banjir di Daerah Bagan Datuk dapat ditangani secara berkesan dan berterusan.