4 Mei 2026, Bukit Merah – Sejurus selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 3 yang telah dijalankan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, satu Program Sesi Libat Urus dan Taklimat Keselamatan Empangan Bukit Merah telah diadakan pada sebelah petangnya. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Jurutera Daerah JPS Kerian, Ts. Mohamad Nor Hafiz bin Noor Azmi.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato’ Seri Ir. Muhammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak, YBrs. Ir. Dr. Asnor Muizan bin Dato’ Haji Ishak; ADUN Alor Pongsu, YB Noor Azman Ghazali; ADUN Selinsing, YB Sallehuddin Abdullah; ketua-ketua jabatan di peringkat daerah; serta wakil-wakil penduduk kampung di sekitar Empangan Bukit Merah.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi taklimat kepada komuniti setempat, di samping mengenal pasti isu-isu berbangkit serta meningkatkan tahap kesedaran terhadap aspek keselamatan di kawasan empangan. Melalui penganjuran program ini, diharapkan hubungan kerjasama antara pihak jabatan dan komuniti setempat dapat diperkukuhkan, seterusnya membolehkan penyampaian maklumat yang lebih berkesan berkaitan pengurusan dan keselamatan empangan. Usaha ini juga dilihat mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk dalam menghadapi sebarang kemungkinan kejadian kecemasan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan masyarakat secara keseluruhannya.